UMNO, jangan jadi karut!
Pemuda UMNO rayu campur tangan Sultan Selangor
“Ekoran itu, enam persatuan kakitangan PKNS hari ini menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid dan mendesaknya menarik balik pelantikan Siew Moi itu kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan sosial dan ekonomi bumiputera.“
Sejak bila wujud peraturan yang menetapkan bahawa usaha peningkatan sosial dan ekonomi bumiputra hanya boleh diterajui oleh orang Melayu? Lebih penting lagi, siapakah yang telah melantik UMNO sebagai penjaga de facto kebajikan orang Melayu?
Jika dilihat susur galur sejarah penubuhan UMNO, sememangnya UMNO wajar dinobatkan sebagai parti politik yang senantiasa memperjuangkan kebajikan dan naiktaraf orang Melayu, dan kita seharusnya tidak menafikan kebaikan dan sumbangan yang telah dibawa oleh UMNO ke atas orang Melayu sejak zaman pra-Merdeka lagi.
Namun, UMNO tidak boleh terus melaung-laungkan haknya sebagai pelindung kaum Melayu atas dasar dan sebab sejarah semata-mata, memandangkan kewujudan alternatif cara kerja politik bagi orang Melayu yang dibawa oleh parti-parti lain seperti PAS dan PKR sekarang.
Sebaliknya, kesesuaian UMNO untuk terus memegang kedudukan sebagai pelindung ulung kaum Melayu harus dinilai dari aspek keberterusan perubahan dan kemajuan material dan spiritual yang dapat ditawarkan oleh UMNO, berbanding dengan parti-parti lain seperti PAS dan PKR.
Orang Melayu sendiri harus berfikir kebijaksanaan untuk terus menobatkan UMNO sebagai pelindung kaum Melayu sedangkan UMNO sendiri bertelagah dan visi politik berlandaskan perkauman yang dibawanya semakin hari dilihat semakin kuno dan tidak berkesan.
Sudah tiba masanya untuk orang Melayu menyedari hakikat bahawa bukan UMNO sahaja yang boleh menjamin kebahagiaan dan kemajuan kaum Melayu di Malaysia dan membuka mata mereka terhadap potensi-potensi cara kerja politik alternatif yang dibawa oleh PKR, PAS atau DAP, yang mungkin lebih mujarab kesannya untuk menaiktaraf kedudukan orang Melayu.
Cara kerja politik UMNO yang sering diertikan sebagai usaha peningkatan taraf hidup kaum Melayu dengan menekan dan mengambil hak atau peluang kaum bukan Melayu harus ditolak sama sekali.
Orang Melayu harus sedar kemajuan dan perubahan yang dibina atas penindasan atau kezaliman terhadap kaum bukan Melayu bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan akhlak kemanusiaan, selain akan menyemarakkan lagi perasaan tidak puas hati terhadap orang Melayu.
Era politik ‘zero-sum game’ yang sering dikaitkan dengan retorik UMNO harus dihentikan dan ditolak.
Aspek perkauman akan terus menjadi sebahagian daripada lanskap politik di Malaysia, tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh belajar untuk bergerak melepasinya.
Orang Melayu telah berjalan cukup jauh dan mara ke hadapan, sehinggakan politik ber-ideologi-kan perkauman yang dicanang oleh UMNO tidak lagi berupaya untuk mengembangkan potensi orang Melayu dengan sepenuhnya.
Pandangan orang Melayu telah cukup luas, minda orang Melayu telah lama dibuka, hati orang Melayu sudah terbang bebas, sehinggakan politik berasaskan perkauman yang diterajui UMNO kelihatan sempit, mengkongkong dan membebankan.
Masa untuk anjakan paradigma cara kerja politik orang Melayu sudah tiba. Ambil yang keruh, buangkan yang jernih.
____________________
“Rata-rata kepimpinan Pemuda UMNO Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional merasa kecewa dan sedih dengan tindakan kerajaan negeri hari ini yang dirasakan semakin tertekan untuk meraih sokongan kaum-kaum lain hingga Menteri Besar sanggup menggadaikan maruah bangsanya sendiri.
“Tindakan itu juga memecah tradisi kepimpinan PKNS sebelum ini diterajui bumiputera, apa yang dilakukan itu seolah-olah menutup ruang dan memperkecilkan pengalaman dan kredibiliti pegawai-pegawai berketurunan Melayu.“
Maruah bangsa Melayu tergadai apabila orang Melayu diberitahu bahawa mereka masih memerlukan pertolongan dan bantuan daripada kerajaan dalam hal ekonomi, sosial, pendidikan dan politik, walaupun telah hampir 30 tahun program DEB dilaksanakan.
Maruah bangsa Melayu tercabar apabila orang Melayu dimomokkan dengan dongeng ancaman ke atas hak beragama Islam, hak bertutur bahasa Malaysia dan hak mentaati sultan-sultan mereka, walaupun semua perkara ini telah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh orang asing.
Maruah bangsa Melayu terguris apabila orang Melayu masih dikepalai oleh ahli-ahli politik yang membelakangkan konsep keadilan, kejujuran dan amanah, yang kasar akhlaknya dan yang cetek inteleknya, walaupun orang Melayu dahulu kala kaya budi pekertinya, sarat ilmunya dan dalam kebijaksanaannya.
Itu sebenarnya malapetaka yang menimpa orang Melayu di Malaysia masa kini.
Source:






