pengajaran daripada obama
“And if Allah had pleased He would have made you (all) a single people, but that He might try you in what He gave you, therefore strive with one another to hasten to virtuous deeds; to Allah is your return, of all (of you), so He will let you know that in which you differed”
[Qur'an, 5:48]
Saya pernah mengulas mengenai kebarangkalian pemipin daripada kalangan bukan Melayu atau bukan Islam bagi memegang tampuk pemerintahan negara, di mana saya menyebut bahawa secara prinsipnya, tidak wujud sebarang kekangan terhadap pemilihan seorang pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan Perdana Menteri.
Sungguh, Perlembagaan Malaysia sendiri tidak meletakkan sebagai garis panduan daripada segi keutamaan sesebuah kaum bagi memegang jawatan tersebut; ianya tidak mengesyorkan atau menafikan ruang bagi sebarang kaum.
Saya fikir isu bangsa atau kaum yang boleh memegang jawatan Perdana Menteri di Malaysia lebih berkait rapat dengan situasi dan realiti politik Malaysia, selain daripada apa yang ditetapkan di dalam Perlembagaan.
(The possibility of having someone with a different skin colour picked to the Prime Minister’s position in Malaysia is a function of the political realities in this country more than anything else).
Sentimen dan harapan yang dikongsi oleh masyarakat bukan Melayu atas peluang salah satu daripada pemimpin mereka untuk memegang jawatan tertinggi di negara ini boleh difahami; rakyat Malaysia tidak terkecuali dalam menerima tempias idealisme dan kejayaan visi politik yang dibawa oleh saudara Barrak Obama.
Tetapi lebih daripada peluang untuk melantik seseorang daripada golongan “minoriti” ke jawatan politik tertinggi di Malaysia, saya fikir kemenangan saudara Barrack Obama juga boleh diertikan sebagai peluang untuk memberi nafas baru kepada kredibiliti Washington yang semakin hari semakin lesu, lebih-lebih lagi apabila ianya sedang bergelumang dengan “Peperangan ke atas Keganasan” di samping terpaksa mendepani krisis ekonomi dunia yang hampir meranapkan institusi kewangan negara itu dengan sangkaan bahawa sistem kapitalis telah tiba di akhir hayatnya.
Kemenangan saudara Barrack Obama memberikan harapan bahawa kepimpinan Amerika Syarikat di bawah saudara George W. Bush yang sering dilihat sebagai angkuh, anti-intellektualisme, kalut dan tidak telus bakal digantikan dengan barisan kepimpinan yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian pendapat, menggalakkan kembangan intellek dan bersifat ikhlas dalam pendirian mereka.
Oleh yang demikian, saya fikir kita di Malaysia tidak harus menyempitkan kejayaan saudara Barrack Obama dalam memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat kepada pertukaran warna kulit penghuni Rumah Putih semata-mata.
Sungguh, pencapaian tersebut dengan sendirinya merupakan suatu yang wajar diambil iktibar dan harus dilihat dalam konteks meluaskan hak golongan “minoriti” di dalam sesebuah negara yang berbilang kaum dan yang mempunyai sejarah penindasan kaum “minoriti”.
Bertitik tolak daripada ini, saya berpendapat adalah sedikit terburu-buru bagi sesetengah pemipin bukan Melayu di negara ini untuk terus mengertikan kemenangan saudara Barrack Obama kepada peluang diri mereka sendiri atau cucu-cicit mereka untuk memegang tampuk pemerintahan negara dalam masa terdekat ini.
Pada pandangan saya, pengajaran yang lebih jelas yang boleh diteladani oleh pemimpin-pemimpin di negara ini – samada Melayu atau bukan Melayu – termasuklah kewajiban mereka untuk memelihara dan meningkatkan kebolehpercayaan, kecekapan dan keterbukaan pihak kerajaan dari kaca mata rakyat.
Kepimpinan negara juga harus mengambil iktibar daripada kemenangan saudara Barrack Obama bahawa penggunaan isu kaum secara tidak bertanggungjawab bagi meraih sokongan sementara pengundi tidak mencerminkan kebijaksanaan dan keikhlasan memimpin.
Oleh itu, apa yang patut diambil pengajaran daripada kemenangan saudara Barrack Obama adalah bukan perubahan daripada segi pertukaran warna kulit penghuni Rumah Putih (yang telah diertikan sebagai kewajaran kaum bukan Melayu diberi peluang seluas-luasnya untuk memegang jawatan Perdana Menteri semata-mata), tetapi harus mencakupi aspek kepimpinan yang lebih “fundamental” seperti:
(i) penolakan cara kerja politik perkauman yang sempit (rejection of racial baiting),
(ii) kepentingan untuk menghargai dan menghormati kepelbagaian pandangan dan perbezaan pendapat (a keen appreciation of and respect for diversity, not an elimination of it), serta
(iii) penerimaan hakikat bahawa pemimpin dilantik untuk berkhidmat dan menjaga kepentingan rakyat, bukannya diri sendiri (a fidelity to the political burden to serve the people).
Saya fikir perkara-perkara ini merupakan pengajaran yang wajar diambil kira selain perlu dizahirkan dengan sebaik mungkin oleh kepimpinan negara kita.
Daripada dibuai mimpi samada boleh atau tidak pemimpin bukan Melayu menghuni Seri Perdana dalam masa terdekat ini atau meramalkan bilakah pemimpin bukan Melayu akan dapat merasai kerusi empuk Perdana Menteri di Putrajaya, lebih elok sekiranya mereka bertekad untuk menerapkan nilai-nilai kesensitifan, kesediaan mendengar, keterbukaan berbincang dan penolakan stereotaip melulu ke dalam sistem pemerintahan di Malaysia.
Jika kita betul-betul ingin mengambil iktibar daripada kemenangan saudara Barrack Obama, salah satu pengajaran yang boleh diambil adalah warna kulit semata-mata tidak seharusnya dijadikan indikator keupayaan seseorang individu, serta segala usaha perlu dilakukan untuk melihat melepasi halangan tersebut.
Oleh yang demikian, warna kulit individu yang menghuni Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tidak seharusya dijadikan pertikaian. Apa yang jauh lebih penting adalah kecekalan dan kesungguhan individu tersebut untuk berkhimat, meskipun terpaksa berdepan dengan persepsi perkauman yang sempit.







[...] another friend Wan Mohd Aimran in pondering the lessons of the Obama victory, opined: Oleh yang demikian, saya fikir kita di Malaysia tidak harus menyempitkan kejayaan saudara Barrack [...]